Thursday, 7 June 2012

Apa itu usrah?

Usrah. Satu perkataan yang tidak lagi ganjil di kalangan orang yang sudah terlibat dengan apa-apa persatuan atau gerakan Islam. Pernah suatu ketika dahulu ia merupakan satu perkataan yang menimbulkan bermacam-macam persoalan dan sesiapa yang mengikutinya dianggap sebagai orang-orang yang merancang sesuatu (baca: aktiviti underground). Mungkin juga sekarang, ada sesetengah tempat yang masih lagi mempunyai inersia yang sedemikian tetapi di kebanyakan tempat ia sudah menjadi satu perkataan yang lazim dan begitu sinonim dengan badan-badan Islamik.

Persoalannya, ada apa dengan usrah?
Buat mereka yang ada latar belakang Islamik, yang ibu bapa mereka giat di dalam aktiviti-aktiviti Islam maka mereka mungkin sudah mengetahui apakah usrah. Tetapi buat sebahagian besar dari yang lainnya itu, di tempat-tempat mereka mengenali wadah Islamlah tempat mereka mengenali apakah itu usrah. Itupun bernasib baik jika dipanggil sebagai usrah, adakalanya sesetengah tempat menggunakan nama-nama lain seperti Halaqah al-Qur’an (HAQ), Majlis Diskusi Pelajar (MDP) dan lain-lain lagi.
Bagi ramai, mereka memahami bahawa usrah itu adalah perjumpaan mingguan yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan iman di masa-masa yang lapang. Andaikata masa tersebut lapang, maka insya Allah dia akan menyertai. Tetapi jika ada hal lain, haa… “Saya fikir-fikir dulu ye bang?” biasa lah tu.
Tetapi…
Sebelum masuk kepada “ada apa dengan usrah?” mari kita lihat sirah usrah itu sendiri.
Pada peringkat awal permulaan da’wah Islamiyah, Rasulullah SAW yang telah bermula dengan seorang diri. Lalu ia dikongsikan dan disebarkan kepada keluarganya terapat, di dalamnya termasuk Khadijah, zaujah baginda dan Ali, anak saudaranya. Selain dari itu, beberapa sahabat RasuluLlah yang terapat juga telah disampaikan dengan risalah agung ini, contohnya Abu Bakar as-Siddiq dan datang daripadanya pula Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain lagi.
Zaman awal tersebut merupakan suatu zaman yang tertumpu kepada penjernihan fikrah; penjernihan aqidah Islam kepada yang tulen. RasuluLlah SAW pada ketika itu banyak berjumpa dan mengajar sahabat-sahabatnya yang baru memeluk Islam, tetapi suasananya penuh dengan kerahsiaan. Sebabnya mudah; kaedah da’wah yang dilakukan adalah da’wah fardiyah dan setiap orang ingin menjaga keselamatan masing-masing.
Ayat-ayat yang paling awal diturunkan pula pendek-pendek. Mesejnya jelas. Setiap hentian membawa seseorang kepada memikirkan keindahan ayat-ayat tersebut. Rentaknya pula sangat kena dengan hati yang berkarat, yang dipenuhi dengan anasir jahiliyah. Apa yang kita dapat perhatikan ialah kebanyakan ayat tersebut berada di dalam bahagian Mufassal al-Qur’an (dari Qaf, 50 hingga an-Nas, 114). Isinya tidak lain dan tidak bukan untuk membersihkan pemikiran manusia dari cengkaman keindahan hidup yang merosakkan, agar mereka mengetahui tujuan hidup mereka, ke mana mereka akan dikembalikan, siapakah tuhan mereka dan persoalan-persoalan asasi yang perlu diketahui oleh makhluk yang bernama manusia (juga jinn).
Dalam konteks tersebut, RasuluLlah telah membuat pertemuan-pertemuan di rumah beberapa sahabat. Antara yang paling masyhur sekali kisahnya ialah pertemuan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Satu majlis yang kecil yang terdiri daripada beberapa orang sahabat tertentu dibuat untuk membentuk nilai-nilai Islamik ahlinya. Tetapi, pada ketika itu ia tidak disebut sebagai usrah.
Selepas berlalunya zaman tersebut, Islam kembali menjadi asing. Suatu janji yang disebutkan sendiri oleh RasuluLlah SAW: “Islam datang dalam keadaan gharib (asing) dan akan kembali menjadi gharib (asing)…” (Muslim). Dan kita melihat jahiliyyah kembali berleluasa, lagi-lagi ia berlaku dengan lebih rancak lagi setelah kejatuhan Khilafah Islamiyah yang terakhir pada tahun 1924M.
Hassan al-Banna (1906-1949) yang menyedari hakikat ini telah memulakan usaha-usaha untuk mengembalikan sistem Khilafah tersebut. Antara perkara yang diperhatikan ialah bagaimana institusi keluarga itu telah gagal di dalam membentuk peribadi muslim yang tulen. Ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah Islamiyah yang betul. Maka dari situ, lahirlah satu sistem yang mengumpulkan orang-orang yang ingin berubah dan mengubah di dalam satu kumpulan khusus bernama usrah.
Usrah (baca: keluarga). Kenapa? Kerana ia bertujuan membawa fungsi membentuk individu muslim dengan tarbiyah Islamiyah yang tulen kepada ahlinya sementara institusi keluarga (baca: usrah) yang sebenar belum dapat menjalankan fungsi tersebut dengan baik. Ketuanya (baca: naqib/ah) umpama seorang bapa. Ahlinya yang lain umpama anak-anak. Seorang naqib memainkan peranan yang sangat penting sebagai bapa untuk menjaga kebajikan ahlinya, seorang syeikh dalam memberi pengisian ruhiyah, seorang ustaz di dalam mendidik dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat, dan seorang qiyadah di dalam memberi arahan yang perlu dilaksanakan.
Hasilnya ialah, sistem usrah itu bertujuan menjadi salah satu daripada wasilah tarbiyah untuk mendidik dan membina individu-individu muslim yang tulen lagi “tegar”. Dan perkara ini hanya akan terhasil setelah menepati rukun-rukun usrah yang ada: 

(1) Ta’aruf, iaitu saling berkenalan sesama ikhwah hingga sampai tahap mengenali potensi dan kelemahan setiap individu di dalam kumpulan tersebut
(2) tafahhum, saling memahami hingga seorang akh itu dapat menegur dan ditegur oleh akh yang lainnya 
(3) takaful,tolong-menolong, lalu memenuhi seruan Rasul; “Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan”.

Akhirnya, usrah yang berkesan itu adalah usrah yang mendapat partisipasi dari hebat dari ahlinya di samping bimbingan dan panduan yang mantap dari naqibnya. Tanpa kedua-dua ini, tidak mungkin wujud usrah yang muntijah (efektif).







dicopy, edit dan paste dari http://muslimcircle.wordpress.com/2010/05/27/ada-apa-dengan-usrah/


1 comments:

Unknown said...

Begitu indahnya hidup bertatabiyah dlm ukhwah islamiyah..

Post a Comment